Selasa, 21 Julai 2009

Detik-Detik Bersejarah IV

Khamis (09.07.09) - Lebih kurang jam 3.50 ptg, sayang tel aku dan dia cakap dah tak tahan dan nak masuk ke bilik bersalin (aku risau dah time tu). Pukul 4 je terus aku nak masuk ke wad tetapi tak boleh, sebabnya jadual waktu melawat dah berubah. Mulai hari ini, waktu melawat 4.30 ptg - 7.00ptg. Aku kena tunggu kat luar lagi sampai 4.30 ptg.

Bila aku masuk je, sayang dah tak ada kat katilnya. Akak yang duduk kat katil sebelah sayang dengan terpinga-pinga tanya aku kenapa tak masuk lagi. Dia kata sayang dah masuk dari pukul 4 tadi. Aku beritahu dia yang nurse tak panggil aku lagi. Aku pun duduk kat katil sayang menunggu nama aku dipanggil.

Dalam jam 5.30 ptg, aku pergi tanya kat nurse yang bertugas, lama lagi ke sayang kat dalam? Dia kata, "tunggu ya encik, nanti bila isteri encik dah nak bersalin, kami akan panggil". Dia juga cakap jalannya dah buka 7 cm. Aku pun terus tunggu dan tunggu nama aku dipanggil. Aku hanya mampu banyakkan berdoa agar sayang selamat dan cepat-cepat lah bersalin. Aku risau sayang tak ada tenaga sebab dia tak makan dari tengahari tadi.

6.55 ptg, sekali lagi aku pergi tanya kat nurse yang bertugas dan jawapannya tetap sama, "tunggu ya encik, nanti bila isteri encik dah nak bersalin, kami akan panggil". Aku pun tanya jalannya dah berapa cm dah sekarang ni. Dia kata dah 9 cm. Dalam hati aku dah tak lama dah tu, tinggal 1 cm je lagi.

7.00 mlm aku terpaksa tunggu di luar. Aku bersembang-sembang dengan makcik cleaner kat luar. Dia menasihatkan aku supaya bersabar dan banyakkan berdoa. Kalu dah 9 cm, dah tak lama dah tu. Aku terus tunggu dengan penuh debar dan risau sangat-sangat. Sehinggalah pukul 7.15, nurse panggil aku ke dalam.

Aku pun dengan cepatnya terus masuk ke dalam. Aku dapat melihat riak wajah sayang ketika itu sungguh terseksa sehingga aku dapat merasa kesakitan yang ditanggung oleh sayang ketika itu. Aku terus memegang tangan sayang dan memberikan semangat padanya dan banyakkan beristighfar. Aku lihat muka sayang seperti sudah tidak bermaya. Nurse menyuruh aku membasahkan sedikit muka sayang. Aku terus memegang tangan sayang degan lebih erat lagi, mengusap-usap rambutnya serta memberi kucupan pada dahinya dan memberi lebih banyak dorongan dan semangat padanya.

Nurse menyuruh sayang supaya meneran dengan lebih kuat lagi. Dia kata, kepala baby dah nampak. Aku pun terus beri semangat kat sayang supaya terus meneran. Aku suruh tarik nafas dalam-dalam dan meneran dengan kuat. Aku ingatkan dia supaya jangan angkat punggung (sayang pesan kat aku sebelum ni, takut dia lupa). Nurse terus menyuruh sayang meneran dengan kuat lagi, kepala baby dah keluar dan tinggal sikit je lagi. Aku dapat melihat depan mata aku sendiri kepala anak aku keluar dan tinggal badannya sahaja. Aku cakap kat sayang , sikit je lagi dan teruskan meneran.

Akhirnya, pukul 7.30 mlm, anakku selamat dilahirkan dan dia terus menangis dengan nyaring sekali. Aku memberikan kucupan di dahi sayang dan mengatakannya yang anak kita lelaki. Nurse pun menunjukkan baby kepada sayang dan bertanya kepada sayang dapat baby apa. Sayang pun menjawab baby boy walaupun tak bermaya nak bersuara. Nurse meletakkan baby di dada sayang dan menyuruhnya memeluk dengan erat-erat.

Aku pun terus ke luar dan mengambil air sembahyang untuk mengazankan anakku. Apabila nurse sudah selesai membersihkan anakku, aku terus mengambilnya dan mengazankan di telingga kanan dan qamat di telingga kirinya. Setelah selesai, aku beri semula anakku kepada nurse dan melihat dia ditimbang. Berat anakku ketika dilahirkan ialah 2.4 kg. Sebelum keluar, aku diberi uri anakku di dalam bungkusan plastik dan aku simpan di dalam kereta.

Bersyukur aku kepada Allah kerana sayang melahirkan anak kami dengan selamat dan yang penting kedua-duanya sihat dan selamat. AMIN........



Baby boy.....

Tiada ulasan: